Islamofobia

Apabila Muslim Malaysia ‘Disyaitankan’ di Negara Sendiri

Projek ‘pensyaitanan’ / demonizing Muslim adalah satu hal yang kita sudah begitu maklum direncanakan di negara – negara kafir.

Jika seorang pelaku keganasan itu bernama Muslim, maka ratusan media akan menempel muka hadapan mereka dengan ‘keganasan Islam’, Industri media Barat dibayar jutaan dollar untuk menjayakan projek ini. Komuniti imigran Muslim minoriti dianggap miliki agenda ‘menjajah’ negara bukan Islam yang mereka diami. Pada hal hakikatnya mereka bukan saja berjumlah kecil, tetapi merupakan golongan paling miskin di negara tersebut.

Apabila persatuan Islam Universiti mengadakan program dalaman dengan mengasingkan lelaki dan wanita, ia tidak semena – mena menjadi isu besar negara bukan Islam tersebut- seolahnya ia nilai barbarik yang akan dipaksakan ke atas negara tersebut sekiranya Muslim dibiarkan tinggal selama 20 tahun lagi.

Namun, cara – cara nista media kafir mempersembahkan orang Islam di mata dunia bukanlah suatu hal yang menghairankan, kerana itu sememangnya agenda akhir zaman, mahu memadamkan kebenaran Islam, dan menaikkan kejahatan ideologi taghut.

Bagaimanapun perkembangan semasa di negara Malaysia, sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan di Perlembagaan, yang miliki sejarah tamadun Islam selama ratusan tahun dan didiami majoriti umat Islam tampaknya sedang dihimpit.

“Umat Islam Malaysia sedang ‘disyaitankan’ di negara sendiri”

‘Muslim Saja yang Jahat!’

Bagaimana cara untuk mensyaitankan suatu golongan?

Ia dimulakan dengan mendiamkan punca yang menjadi sebab tindakan golongan tersebut, menyahrepresentasikan (mispresent) perjuangan golongan tersebut, kemudian menggembar – gemburkan maklumat yang salah bagi memperlihat golongan tersebut sebagai orang jahat / syaitan.

Itulah yang sedang berlaku pada jutaan umat Islam Malaysia yang sedang memilih untuk membeli barangan pilihan mereka menggunakan wang mereka sendiri.

Kempen ‘Buy Muslim First’ atau Beli Produk Muslim tidak lain hanyalah bertujuan memberi galakan kepada ekonomi orang Islam selain mengetengahkan produk serta perkhidmatan halal seluruh negara. Ia menyahut seruan untuk memajukan ekonomi umat di sebalik tuduhan ‘Melayu Islam malas tak pandai meniaga’ yang sekian lama dilempar ke atas diri mereka.

Ia juga bukanlah inisiatif parti-parti politik tetapi inisiatif NGO-NGO, iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Bekerjasama menjayakannya pula adalah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Gerakan Tunai Zakat, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia Berhad dan Hijrah Water.

Tidak wujud istilah boikot. Tiada persatuan Islam yang menggerakkan kempen boikot.

Punca kepada mengapa orang Islam Malaysia begitu bersatu hati menyokong sesama Muslim tidak lain adalah kerana siri – siri tindak – tanduk anti Islam oleh penguasa – penguasa, yang sebahagiannya lantang anti Islam, penolakan jawi dan khat sehingga menganjurkan demonstrasi anti khat, serta perjuangan anti Zakir Naik yang menjadi agenda kebangsaan jauh mengatasi janji manifesto dan visi memajukan ekonomi negara.

Namun kesatuan hati jutaan umat Islam ini kemudian dijenamakan secara besar – besaran sebagai gerakan boikot yang rasis.

Ia adalah suatu kempen yang tidak wujud, yang kemudian digembar – gemburkan sehingga menjadi fobia dalam negara.

Seolahnya, orang Islam di negara ini yang jahat. Mereka rasis. Mereka xenophobic. Mereka benci bukan Islam di negara ini.

Daripada kempen yang tidak wujud itu, mereka kemudian mengetengahkan ‘dalil agama‘ bahawa haram memboikot barangan bukan Islam. Sedangkan penulis dalil tersebut juga orang yang sama yang melembutkan penerimaan LGBT di Malaysia. Suara – suara begini yang dikedepankan membantah kempen yang disokong Mufti – mufti di Malaysia.

Sudah pasti, punca – punca sebenar yang mendorong ledakan naik sentimen kesatuan Muslim ini tidak langsung diketengahkan. Tidak perlu, kerana ‘hanya Muslim saja yang salah dan berdosa dalam sejarah negara ini’.

Sejauh manakah projek pensyaitanan Muslim ini akan berlangsung selepas ini? Mengapa golongan majoriti terus dibuli?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close