Ateis

Salah Faham Ateis Tentang Tuhan

Tuhan ialah pengisi ruang (gap-filler) kepada ketidaktahuan (ignorance) manusia tentang alam – Ateis

Sepengalaman melihat penghujahan golongan ateis, demikianlah perkara yang dapat saya simpulkan tentang apa yang kebanyakan golongan ateis fahami tentang Tuhan. Tuhan pada kefahaman mereka ialah sebuah hipotesis yang diusulkan oleh manusia zaman dahulu untuk menjelaskan fenomena-fenomena semulajadi yang berlaku pada alam ini.

Daripada kefahaman yang sebeginilah, mereka kemudiannya beranggapan bahawa dengan perkembangan sains yang kita kecapi pada hari ini, kita tidak lagi memerlukan Tuhan kerana Tuhan pada fikiran mereka ialah sebuah hipotesis dangkal, malas dan tidak matang manusia zaman dahulu yang tidak mempunyai kemajuan dalam sains dan teknologi bagi menjelaskan fenomena-fenomena semulajadi.

Anggapan ateis tentang Tuhan – God of the gaps

Namun, ini pada hakikatnya ialah sebuah kefahaman yang salah sama sekali. Manusia tidak sesekali mempercayai Tuhan, atau dalam bahasa golongan ateis, ‘menciptakan’ Tuhan untuk menjelaskan perkara-perkara yang tidak mereka fahami daripada alam ini. Sebaliknya, kepercayaan kepada Tuhan ini merupakan suatu prinsip asas yang manusia bermula dengannya secara intuitif. Penerimaan manusia kepada prinsip asas ini seterusnya memberikan mereka pandangan alam yang sejajar (coherent worldview).

Penerimaan bahawa Tuhan itu wujud misalnya membolehkan kita mempercayai bahawa adanya kebebasan memilih (free will) yang seterusnya akan mewajarkan penjatuhan hukuman oleh sistem perundangan ke atas sesebuah jenayah atau kesalahan yang dilakukan seseorang manusia. Hal ini tidak boleh wujud sama sekali dalam pandangan alam ateistik (atheistic worldview) kerana jika Tuhan tidak wujud, maka pastinya manusia hanya merupakan produk tidak sengaja (accidental product) yang dihasilkan oleh alam ini.

Kesan daripada itu, manusia perlu dianggap terikat seratus-peratus kepada undang-undang fizik termasuk dalam hal pilihan mereka untuk melakukan sesuatu tindakan. Justeru, sesebuah perbuatan jenayah dilakukan oleh seseorang manusia itu perlu diterima sebagai suatu tindakan yang terhasil seratus-peratus daripada tujahan reaksi biokimia dalam otak manusia tersebut yang terikat dengan undang-undang fizik – maka dia tidak bersalah dan tidak wajar dihukum.

Demikian juga halnya dengan kebolehpercayaan terhadap keupayaan menaakul atau berfikir manusia. Kepercayaan kepada kewujudan Tuhan akan membolehkan manusia mempercayai keupayaan menaakul atau berfikir mereka kerana keupayaan tersebut bersumber daripada Tuhan yang memiliki kebijaksanaan. Penafian kepada kewujudan Tuhan sebaliknya akan menatijahkan hilangnya kredibiliti keupayaan menaakul atau berfikir manusia kerana kita perlu menerima bahawa proses berfikir manusia tertakluk sepenuhnya oleh reaksi biokimia yang berlaku dalam otak manusia. Reaksi biokimia ini tidak mempunyai nilai kebenaran (truth value), maka daripada itu, apa-apa sahaja yang difikirkan atau ditaakul oleh minda manusia tidak akan dapat dipastikan kebenarannya.

“5 + 2 = 7” misalnya dirasakan benar oleh kita kerana proses biokimia dalam otak kita membuatkan kita merasakan hal tersebut masuk akal dan “7 + 2 = 5” pula dirasakan salah oleh kita kerana proses biokimia dalam otak kita membuatkan kita merasakan hal tersebut tidak masuk akal.

Justeru, kepercayaan kepada kewujudan Tuhan pada hakikatnya merupakan sesuatu yang normal, semulajadi dan rasional serta tidak perlu dipersoalkan pun sebenarnya. Hal tersebut merupakan sesuatu yang terbit secara semulajadi dalam hati sanubari manusia saat mereka menatap alam ini.

Jika hendak diberikan analogi tentang betapa biasanya kepercayaan manusia kepada kewujudan Tuhan ini – kerana ateis selalu mengganggap mempercayai kewujudan Tuhan ialah suatu hal yang sangat luar biasa dan memerlukan bukti yang luar biasa. Saya suka untuk meminjam analogi yang diberikan oleh ahli falsafah Amerika, Alvin Plantinga. Beliau menyatakan bahawa kepercayaan kepada kewujudan Tuhan itu seumpama kepercayaan kepada kewujudan minda orang lain. Hal tersebut merupakan sesuatu hal yang biasa dan wajar sekalipun tanpa pembuktian secara empirikal.

Kata beliau, “kepercayaan kepada kewujudan minda orang lain dan kepercayaan kepada kewujudan Tuhan berada dalam kapal epistemologi yang sama; oleh itu, jika salah satunya wajar, maka demikian juga yang satu lagi. Namun jelas sudah yang sebelumnya (iaitu kepercayaan kepada kewujudan minda orang lain) itu wajar, maka demikian juga yang seterusnya (iaitu kepercayaan kepada kewujudan Tuhan).”

Kesimpulannya, Tuhan bukanlah sebuah hipotesis dangkal, malas dan tidak matang manusia dalam memahami alam ini. Kepercayaan manusia tentang wujudnya Tuhan sebaliknya merupakan sesuatu yang semulajadi, rasional dan bahkan terlalu asasi untuk diragukan.

Wallahu’alam.

Oleh : Amirul Ashraf Ibn Fadzil

Related Articles

2 Comments

  1. Satu article sampah dan xde sumber rujukan. Saya sebagai seorg ex-muslim, merasakan kewujudan allah direka just to justify the shits done by assholes kat padang pasir tu.

    1. Xplah bg kau semua tu rekaan kan..xpa tunggu bila dh mati nnti..x pyh tunggu akhirat pn xpa .tunggu dkt2 nk mati nnti pn dh cukup yg mna satu rekaan atau kenyataan..

Leave a Reply to Wan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close